PERISTIWA PASAR BAKARA


Pada 18 Jun 1993, Malaysia telah menghantar 870 anggota Batalion Ke 19 RAMD (Mekanize) untuk menyertai misi pengaman di bawah Panji-panji Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu UNOSOM II di Moghadishu, Somalia untuk berkhidmat selama lebih kurang 6 bulan dan telah diaturgerakkan di Lapangan Terbang Mogadishu bersama 4000 anggota daripada tentera negara asing yang berkhidmat di bawah UNOSOM II . Mallbat telah di ketuai oleh Kolonel Abdul Latif bin Ahmad sebagai Komander Mallbat dan Lt Kol Mohamad Rozi bin Baharom selaku Timbalan Komander Mallbat serta kumpulan batalion merangkumi tiga kompeni dibantu oleh kumpulan tadbir dan logistik yang dianggotai oleh 52 pegawai dan 818 anggota lain-lain pangkat sepanjang penugasan di Somalia Mallbat telah terlibat dengan berbagai operasi yang membawa kepada kejayaan dan telah menaikan nama Malaysia di arena antarabangsa. Keberanian anggota dan juga pegawai terselah apabila terlibat secara langsung dalam pertempuran Pasar Bakara.

Penglibatan Mallbat di dalam operasi menyelamat tentera US Ranger dan juruterbang pesawat Blackhawk yang diikepung oleh militia Farah Aideed pada malam 03 Oktober 1993 di Pasar Bakara adalah merupakan satu-satu pengalaman pertempuran yang diidam-idamkan oleh setiap anggota tentera yang dilatih untuk bertempur. Walaupun operasi ini dilaksanakan dalam keadaan mendadak dengan serba kekurangan dari aspek perisikan musuh, keadaan medan dan kedudukan objektif, serta masalah komunikasi dan koordinasi di antara tentera asing yang bergabung bersama untuk melaksanakan operasi, tim tempur Mallbat telah berjaya mempamerkan tahap profesionalisma ketenteraan yang cemerlang dan boleh dibanggakan.

Tindak tanduk anggota Mallbat dalam operasi tersebut telah disanjung tinggi oleh semua pasukan pengaman UNOSOM II. Dalam pertempuran yang berlaku selama enam jam itu, puak Militia Aideed telah menembak beratus-ratus Launcher RPG dan beribu-ribu butir peluru mesingan ke arah kumpulan penyelamat. Kemuncak pertempuran berlaku semasa tim tempur Mallbat mencecah pinggir objektif. Ungkapan “Pantang Menyerah Sebelum Ajal” tertanam kukuh di sanubari setiap anggota Mallbat walaupun menyedari tentang bahaya yang bakal dihadapi serta semangat keperwiraan yang tertanam dalam diri individu menyebabkan mereka tidak kenal erti takut terhadap tembakan musuh. Kesan tembakan musuh mengakibatkan empat buah APC Mallbat musnah, serta seorang wira Mallbat menjadi korban tempur dan sepuluh anggota cedera. Anggota Mallbat bertempur demi menjaga maruah agama, bangsa, negara dan keamanan sejagat.

Kadar kecederaan Mallbat jika dibandingkan dengan intensiti pertempuran itu dan kecederaan yang dialami oleh anggota kumpulan Quick Reaction Force (QRF) dari 2/14 Infantry Regiment US Army dan Task Force Ranger serta puak Militia Aideed tidaklah begitu ramai. Menurut laporan perisikan, pertempuran ini telah menggorbankan 18 anggota tentera US dan mencederakan 11 orang anggota sementara puak Somalia yang terbunuh seramai 300 dan yang tercedera seramai 100 orang. Tim tempur Mallbat telah mengukir satu agenda sejarah dalam pengalaman hidup secara khususnya telah mengukir kecemerlangan 19 RAMD (Mekanize) dan Tentera Darat Malaysia. Pihak QRF Ranger telah menyaksikan sendiri reaksi berani anggota Mallbat dalam menangani senario pertempuran yang amat tertekan dan terdesak.

Kesinambungan dari operasi yang membawa kepada kejayaan, Mallbat juga terlibat dengan penugasan menyelamat empat wartawan CNN yang terperangkap dalam suasana tembak-menembak di antara puak yang bertelagah di Hotel Al-Shahafi pada 10 September 1993. Tindakan cepat dan berani oleh anggota Malbat dalam peristiwa Benadir Supreme Court iaitu menyelamat hakim UNOSOM II dari dijadikan tebusan oleh Militia Somalia pada 27 September 1993 telah mendapat sanjungan yang tinggi dari para pegawai UNOSOM II.
Kecekapan anggota Mallbat telah membuktikan bahawa mereka telah dilatih dengan secukupnya dan sentiasa bersedia untuk melaksanakan semua tugas yang diberi di Somalia. Semangat gigih serta setiakawan yang cukup tinggi telah berjaya membantu kejayaan operasi serta menyelamatkan banyak anggota Mallbat sendiri dan tentera Amerika. Kecekapan dan kecekalan mereka secara langsung telah menghasilkan sukses pada misi menyelamat tersebut. Sesungguhnya juga, mereka telah mendapat pertolongan dari Allah SWT di dalam saat-saat pertolongan yang amat diperlukan.

Antara wira-wira mekanize yang telah dianugerahkan pingat keberanian.
Mej Ab Aziz bin Ab Latif, terlibat dalam menyelamat empat wartawan CNN yang terperangkap di Hotel Al Shahafi pada 10 Sept 93 dan pertempuran di Pasar Bakara. Dianugerahkan Pingat Gagah Berani.
Kapt Mohd Halim bin Khalid terlibat dalam peristiwa menyelamat hakim di Benadir Supreme Court pada 27 Sept 93 dan pertempuran di Pasar Bakara. Dianugerahkan Pingat Panglima Gagah Berani.
Lt Muda Mohamad Juraimy bin Arifin terlibat dalam pertempuran Pasar Bakara pada 3 dan 4 Oktober 93. Dianugerahkan Pingat Panglima Gagah Berani.
Lt Muda Khairul bin Abd Aziz terlibat dalam pertempuran Pasar Bakara pada 3 dan 4 Oktober 93. Dianugerahkan Pingat Panglima Gagah Berani.
LKpl Sabri bin Ahmad telibat dalam pertempuran Pasar Bakara pada 3 dan 4 Oktober 93. Dianugerahkan Pingat Panglima Gagah Berani.
LKpl Rizal bin Ismail terlibat dalam pertempuran Pasar Bakara pada 3 dan 4 Oktober 93. Dianugerahkan Pingat Panglima Gagah Berani.
Allahyarham Kpl Mat Aznan bin Awang terlibat dalam pertempuran Pasar Bakara pada 3 dan 4 Oktober 93. Dianugerahkan Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa.