“KP Gempita gantikan Kenderaan Perisai RPZ Condor”



Kenderaan Penggempur 8X8 ini diberi gelaran ”GEMPITA” yang diilhamkan oleh Lt Jen Dato’ Sri Zulkiple bin Hj Kassim Panglima Medan Tentera Darat yang ke 18. Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Edisi ke-4 ”GEMPITA” bermaksud riuh-rendah, gempar atau gegak. ”GEMPITA” sering digunakan untuk menggambarkan bunyi yang sangat kuat seperti bunyi meriam, letupan bom yang kuat dan bunyi pertempuran di medan perang. ”GEMPITA” juga digunakan bagi menggambarkan kegemparan akibat teriakan atau laungan oleh orang ramai seperti di stadium.

            Kenderaan Penggempur 8X8 ini mampu melemahkan serangan pihak musuh dan ia memerlukan bala tentera yang ramai dan kuat untuk menghadapi tentangan dari kenderaan ini. Dengan rekaan berteknologi tinggi dan sistem persenjataan yang moden Kenderaan Penggempur 8X8 ini mampu membinasakan musuh yang ramai pada masa yang sama mampu mempertahankan diri dari ancaman musuh. Nama ”GEMPITA” ini juga sesuai digunakan pada Kenderaan Penggempur 8X8 bagi menggambarkan kenderaan yang gah dengan kemampuan manuver yang tinggi dan mampu menggemparkan sekaligus menggerunkan pihak musuh. Nama ini mampu menaikkan semangat anggota Tentera Darat Malaysia dan untuk berjuang hingga titisan darah yang terakhir.

            Selaras dengan penstukturan semula Tentera Darat. Pada tahun 2011, Tentera Darat telah memutuskan aset terbaru iaitu Kenderaan Penggempur Gempita buatan negara Turki ini mampu meningkatkan tahap kesiapsiagaan Tentera Darat dalam berdepan ancaman dari pihak luar. Pada bulan Disember 2014, sebanyak 12 buah Kenderaan Penggempur Gempita jenis IFV 25mm telah diserahkan kepada Pasukan 19 RAMD (Mek) bagi menggantikan Kenderaan Perisai RPZ Condor. Penyerahan KP Gempita IFV 25mm ini, dilakukan di 92 DKP bertempat di Batu Kantomen, Kuala Lumpur. Penyerahan kenderaan ini adalah secara berperingkat sehingga tahun 2018 bagi membolehkan pasukan ini beroperasi sepenuhnya dengan menggunakan KP Gempita. Dalam kontek ini, Pegawai Memerintah yang ke 21 iaitu Lt Kol Wisham bin Abdul Hadi (3006054) adalah merupakan Pegawai Memerintah Pertama yang bertanggungjawab dalam membuat penerimaan Kenderaan Penggempur Gempita.