PERWIRA-PERWIRA 19 RAMD (MEK)

MEJAR AB AZIZ BIN AB LATIF
Penerima Pingat Gagah Berani (PGB)

Mejar Ab Aziz Bin Ab Latif (3001261) berasal dari Bachok, Kelantan. Beliau ditauliahkan pada 31 Mei 1980 dan menyertai batalion ke 21 RAMD berpangkalan di Bentong, Pahang. Sejurus selepas ditauliahkan selaku Pegawai Infantri, beliau tidak ketinggalan terlibat dalam operasi menentang pengganas komunis terutama di kawasan Pahang Barat dan Perbatasan Malaysia – Thailand.

Beliau merupakan salah seorang Pegawai Kumpulan Pertama daripada Kor Infantri menerima latihan untuk penubuhan Batalion Infantri Mekanize. Atas kebolehan dan pengalaman beliau telah diberikan kepercayaan mengetuai Kompeni A, 19 RAMD (Mekanize) sejak 1 Jan 1989 dan terpilih menyertai misi Penguatkuasa Keamanan PBB di Somalia.

Semasa operasi di Somalia, keberanian beliau secara individu terserlah apabila Kompeni A pimpinanya ditugaskan menyelamat empat wartawan CNN yang terperangkap di Hotel Al Hashafi pada 10 September 1993. Beliau sendiri mendahului anggotanya turun dari kenderaan dan masuk ke hotel dalam suasana tembak menembak sedang berlaku di sekitar kawasan tersebut. Ini membolehkan tindakan suslan diambil bagi menjayakan misi.

Dalam operasi menyelamatkan anggota Renjer Amerika yang terperangkap di timur Pasar Bakara pada 3 & 4 Oktober 1993, kepimpinan beliau sekali lagi teruji. Kawasan yang dipertanggungjawabkan kepadanya adalah kawasan pertahan musuh yang paling kebal dan mempunyai banyak senjata berat seperti RPG 7 dan Mortar. Dalam operasi tersebut, dua buah kenderaan APC Kompeni B musnah. Setibanya di kawasan pertempuran, beliau dengan beraninya turun dari APC bagi menyelamatkan anggota yang tercedera dalam Kompeni B biarpun tembak menembak masih belum reda. Begitu juga apabila kenderaan kedua kompeninya yang terkena tembakan yang mencederakan pemandunya (akhirnya gugur sebagai “Bunga Bangsa”), beliau telah berjaya mententeramkan keadaan dan seterusnya menyelamatkan anggotanya yang terperangkap dalam kenderaan yang musnah. Semangat juang, keberanian dan kepimpinan yang ditunjukkan oleh beliau berjaya menyemarakkan semangat perjuangan  anggotanya . Mereka bertempur dengan hebat dan berjaya melaksanakan misi menyelamat walau dalam persekitaran yang getir.

Sikap tenang beliau membantunya membuat perkiraan keadaan dengan baik di samping mengaturgerakkan subunitnya secara taktikal dan teratur. Keberkesanan beliau mengendalikan kompeninya berjaya menyelamatkan banyak nyawa di kalangan anggota Malbatt dan tentera Amerika. Mej Ab Aziz telah mempamerkan semangat perjuangan dan keberanian yang tinggi serta membuktikan ketokohan sebagai seorang pemerintah di medan pertempuran. Atas pengorbanan dan jasa yang ditunjukkannya, beliau telah dianugerahkan pingat P.G.B oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 4 Jun 1994.

“TEGAK TEGUH”



KAPT MOHD HALIM BIN KHALID
Penerima Pingat Gagah Berani (PGB)

Kapt Mohd Halim bin Khalid (3002599) berasal dari Simpang Pulai, Ipoh, Perak. Beliau telah ditauliahkan pada 6 Mac 1982 dan menyertai 3 RAMD berpengkalan di Miri, Sarawak dan kemudiannya berpindah ke Kem Desa Pahlawan, Kelantan. Beliau seterusnya bertukar masuk ke 19 RAMD dan merupakan antara Pegawai Kumpulan Pertama mencorakkan 19 RAMD (Mekanize) sebagai Batalion Mekanize.

Sepanjang Perkhidmatan, beliau terlibat secara langsung di dalam operasi memerangi pengganas komunis di Semenanjung dan Sarawak. Kapt Mohd Halim bin Khalid telah terpilih menyertai kumpulan Malbatt melaksanakan misi PBB, UNOSOM II di Somalia. Di Mogadishu beliau menjawat jawatan sebagai Penolong Ketua Kompeni B.

Keberanian dan kecekapannya terbukti bilamana beliau terlibat dalam pertempuran dengan Militia Aideed di kawasan Benadir Supreme Court pada 27 September 1993. Pada hari tersebut, beliau ditugaskan mengawal keselamatan mahkamah di mana beberapa pegawai tinggi kehakiman UNOSOM menghadiri satu mesyuarat penting sebelum Mahkamah Somalia dapat dipulihkan semula. Semasa melaksanakan tugas yang diamanahkan kepadanya, beliau terlebih dahulu member taklimat kepada platunnya sebelum mengaturgerak kenderaan serta anggota di kedudukan yang strategic. Kumpulan sniper diletakkan di atas bangunan bagi memantapkan pertahanan.

Pada jam 1145, berpuluh-puluh Militia Aideed telah mengepung bangunan dan menyusup masuk ke kawasan mahkamah dari bangunan bedekatan. Beberapa orang daripada mereka melepaskan tembakan mengharu dengan Mesingan, RPG 7 dan Mortar. Dalam suasana sebegitu genting dan mendesak, beliau berjaya mengawal keadaan pertahanan dengan menggunakan kereta perisai bagi menghadapi serangan Militia Aideed. Selepas bertempur sengit selama satu jam,  Militia Aideed mengarahkan beliau menyerahkan pegawai tinggi Jabatan Kehakiman UNOSOM yang ada sebagai tebusan.

Permintaan tersebut dijawab dengan tembakan berterusan oleh beliau dan anggotanya. Beliau dengan beraninya menggerakkan APC menghampiri bangunan mahkamah bagi menyelamatkan para pegawai jabatan kehakiman yang sedang terperangkap di bangunan tersebut. Tanpa menghiraukan keselamatn diri, beliau terjun dari kenderaannya sambil melepaskan tembakan balas secara bertubi-tubi ke arah Militia Aideed bagi member perlindungan rapat kepada pegawai kehakiman yang sedang berlari  menuju ke kenderaanya.

Kerana tindakan berani beliau, usaha membantutkan proses keamanan yang dirancang oleh Pihak Mitia Aideed telah dapat digagalkan. Selepas bertempur hebat dengan Militia Aideed, akhirnya beliau pulang  bersama anggota  dan para pegawai kehakiman UNOSOM dengan selamat ke pengkalan. Tindakan berani serta semangat “Gagah Setia” yang sedia tertanam dalam jiwa Perwira Mekanise ini telah mendapat pujian tidak hanya daripada Pegawai Kehakiman terbabit malah turut mendapat pujian daripada para pegawai  lain yang berkhidmat dengan UNOSOM II.

Sebagai menghargai jasa bakti serta prestasi cemerlang yang ditunjukkan ketika melaksanakan misi ini, beliau dianugerakan pingat P.G.B oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong  pada 4 jun 199

“TEGAK TEGUH”



LEFTENAN MUDA KHAIRUL ANUAR BIN AZIZ
Penerima Pingat Gagah Berani (PGB)

Lt M Khairul Anuar bin Aziz (3005183) telah ditauliahkan pada 4 Ogos 1990 dan ditukarkan ke Batalion Ke-19 RAMD di sungai Petani, Kedah. Beliau berasal dari Temerloh, Pahang. Sebelum dipilih menyertai misi UNOSOM II di Somalia, beliau sempat menghadiri kursus Ketua Platun dan Ketua Trup Amor.

Sepanjang tiga bulan pertama mengetuai penugasan PBB, beliau telah beberapa kali terlibat dalam operasi mencari dan menggeledah senjata Puak Militia Aideed di sekitar Mogadishu. Beliau turut terlibat dalam pertempuran-pertempuran kecil sebelum peristiwa Pasar Bakara. Semasa kejadian Pasar Bakara pada 3 Okt 1993, platunnya terlibat secara langsung dalam operasi menyelamat anggota Renjer Amerika yang terperangkap di kawasan musuh, semasa cuba mencari juruterbang dan anak kapal helikopter yang terhempas berhampiran kawasan timur Pasar Bakara.

Dalam usaha untuk memasuki kawasan tersebut, keseluruhan kawasan konvoi APC Kompeni dihujani dengan tembakan Mesingan dan senjata-senjata berat seperti Mortar, RPG 7 serta penembak curi yang memang telah menanti kedatangan pasukan bantuan ke kawasan tersebut. Dalam pertempuran yang memakan masa hamper enam jam, dua buah APC platun hadapan Kompeni B terkena RPG lantas mencederakan beberapa orang anggota MALBATT.

Platun beliau kemudiannya diaturgerakkan untuk mengambil alih tugas platun hadapan. Beliau dengan penuh berani menggempur kawasan musuh dan berjaya member tembakan perlindungan kepada anggota ifantri Amerika yang bergerak menuju ke objektif. Dalam keadaan yang sukar beliau Berjaya mengawal APC platunnya di samping member tembakan berkesan ke kedudukan musuh. Akhirnya beliau berjaya, mendekati helikopter yang terhempas dan member perlindungan kepada anggota Renjer Amerika yang telah keletihan dan cedera.

Hasil tindakan nekad serta semangat “ Gagah Setia” platun beliau telah berjaya mengendurkan serangan musuh dan member peluang proses menyelamat Renjer Amerika diteruskan. Di lorong yang sempit di celahan bangunan beliau bermati-matian mempertahankan keselamatan anggota sendiri dan anggota Renjer yang terperangkap. Beliau telah mengarahkan APC bagi mendekati bangkai helikopter yang terhempas dan membantu memasukan anggota Renjer yang tercedera dan terbunuh ke dalam kenderaannya. Setelah kesemua diselamatkan, platunya berundur ke kawasan kompeni dimana  dia kemudiannya membantu kompeni menghadapi serangan puak Militia di jalan-jalan besar menuju ke kawasan selamat.

Platun beliau telah berjaya menyelamatkan nyawa tentera Amerika yang terperangkap dalam keadaan letih dan hamper berputus asa. Menjelang pagi, keseluruhan platun beliau, Kompeni B dan Renjer Amerika berjaya berundur ke kawasan selamat. Misi yang sungguh merbahaya ini telah dapat dijayakan walaupun mengorbankan nyawa, mencederakan anggota dan memusnahkan APC MALBATT. Kejayaan platun beliau mendapat pujian dan sanjungan daripada pihak UNOSOM serta tentera Amerika sendiri. Beliau berjaya membuktikan kemampuan tentera Malaysia kepada dunia.

Berdasarkan prestasi cemerlang dan keberanian yang telah ditunjukkan, beliau telah dianugerahkan pingat P.G.B oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada 4 Jun1994.

“TEGAK TEGUH



LEFTENAN MUDA MUHAMMAD JURAIMY BIN ARIPIN
 Penerima Pingat Gagah Berani P.G.B

Lt M Muhammad Juraimy bin Aripin (3005572) berasal dari Alor Gajah, Melaka dan telah ditauliahkan sebagai Lt M ke kor RAMD pada 1 Ogos 1992. Setelah ditauliahkan, beliau ditugaskan ke pasukan 19  RAMD (Mek) berpengkalan di Sungai Petani sebagai Ketua Platun. Contoh kepimpinan yang baik mentadbirkan platunnya telah meyakinkan Pegawai Mennerintah memilihnya menyertai misi Penguatkuasaan Keamanan PBB di Somalia.

Sebelum ke Somalia, beliau belum menghadiri sebarang kursus kerjaya atau fungsional. Semasa menjalankan tugas di Somalia keupayaan beliau adalah setanding dengan apa yang ditunjukkan oleh Ketua Platun yang lebih berpengalaman dan benar-benar teruji pada operasi menyelamat 75 anggota Renjer Amerika yang terperangkap di tragedy Pasar Bakara pada 3 & 4 Oktober 1993.

Tentera Amerika daripada Pasukan Renjer telah empat kali cuba menyelamat anggota mereka yang terperangkap tetapi tidak Berjaya mendekati objektif. Ini kerana tentangan daripada pihak Militia Aideed terllalu sengit. Penglihatan Pasukan MALBATT dalam operasi ini adalah cubaan kali kelima dimana puak Militia Aideed tentunya telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi tentangan.

Walaupun kurang berpengalaman, berbekalkan semangat dan keberanian, beliau berjaya memimpin platunnya bertempur selama hampir enam jam dalam operasi tersebut. Keberaniannya terselah apabila beliau diarahkan oleh Ketua Kompeni untuk mengambilalih tugas platun hadapan yang terpaksa diundurkan kerana separuh daripada kenderaan platun terbabit telah musnah. Tanpa mengira keselamatan diri, beliau mennggerakkan tiga kenderaan platunnya untuk mengambil alih tugas platun dengan dihujani oleh tembakan senjata RPG 7, Mortar dan Mesingan. Beliau dimaklumkan lebih kurang 200 meter di hadapannya terdapat dua kenderaan kepunyaan MALBATT telah ditembak dan sedang terbakar. Seterusnya beliau diarahkan menggerakkan APC platunnya ke lokasi berkenaan bagi tugas menyelamat.

Setelah membuat perkiraan terhadap tentangan yang bakal dihadapi, beliau mengaturgerakkan kenderaannya ke hadapan untuk menyelamatkan anggota MALBATT dan Renjer Amerika. Beliau mengambil masa lebih kurang satu jam bergerak sambil bertempur sebelum dapat merapati tempat dimana anggota MALBATT dan Amerika sedang berselindung. Keselamatannya terancam apabila memberhentikan kenderaan untuk mengambil anggota Kompeni B yang tercedera bersama-sama dengan anggota Renjer Amerika yang telah terbabas ke kawasan Kompeni A sebelum itu.

Beliau telah berhenti dan membuka pintu kenderaanya untuk menyelamatkan enam anggota MALBATT serta dua seksyen anggota “2nd Battalion 14th Infantry Regimen America” termasuk yang tercedera dan terkorban. Keberanian kental yang ditujukkan itu telah Berjaya menyelamatkan banyak nyawa anggota MALBATT dan tentera Amerika.

Di atas jasa dan pengorbanan yang dicurahkan, beliau telah menaiikan imej negara dan Angkatan Tentera Malaysia di mata dunia serta telah dikurniakan anugerah pingat P.G.B oleh Baginda Yang Dipertuan Agong pada 4 Jun 1994.

“TEGAK TEGUH”